TENTANG PASTI

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Rangkaian PASTI Petra Jaya dikelolakan oleh Jawatankuasa Penyelaras PASTI Kawasan Petra Jaya. Sejarah Penubuhan PASTI Kuching: Penubuhan awal PASTI Kuching di bawah inisiatif Lajnah Tarbiyyah Perhubungan PAS Sarawak dengan mengumpul sumbangan daripada ahli-ahli. Nama asal PASTI Insani ialah Tadika Insani yang dimulakan pada tahun 2004. Bagi tujuan mengumpul dana, Tadika Insani menganjurkan kelas-kelas tuisyen yang mendapat sambutan hangat. Tahun pertama pembukaan seramai 5 orang pelajar dan seorang guru. Buat permulaan, PASTI menumpang di rumah ahli. Tadika Insani kemudiannya ditukarkan kepada PASTI Insani pada tahun 2005. Kini, terdapat 4 buah PASTI di kawasan Petra Jaya di mana 2 buah PASTI iaitu PASTI Insani (Taman Matang Jaya), mula beroperasi sejak tahun 2005 dan PASTI Nur Iman (Kampung No.3, Satok) telah beroperasi sejak tahun 2009, manakala 2 buah cawangan PASTI baru telahpun dibuka untuk pendaftaran sesi 2010, iaitu PASTI Darul 'Ilmi (Desa Guru) dan Pasti Darul 'Ulum (Taman Orchid Wood). Berminat untuk menyumbang dana kos pembukaan, pembangunan dan operasi PASTI? Segala sumbangan bolehlah disalurkan terus kepada Pengurus PASTI Kawasan Petra Jaya (Saudara Fizwan 013-8012296/013-8294180 @ Saudara Hafeiz 019-4538484) atau terus ke dalam akaun BANK ISLAM CAWANGAN SATOK, PASTI INSANI 1-101301-006469-3. Kurikulum PASTI adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan PASTI. Mata pelajaran yang diajar di PASTI adalah seperti berikut: Al-Qur'an, At-Tauhid, Al-Fiqh, As-Sirah, Al-Akhlaq wal Adab, Asas Bahasa dan Tulisan (Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Tulisan Jawi), Kesihatan, Pendidikan Sosial dan Pembangunan Insan, Alam dan Manusia, Matematik dan Pendidikan Jasmani.

Thursday, June 24, 2010

PENDIDIKAN PASTI TARIK MINAT ARTIS

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pasti Pusat, Nazrin Abdul Majid, ketika berucap pada majlis pentup Ihtifal Pasti di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini baru-baru ini.

"Kita berbangga pendidikan sekolah Pasti turut mendapat tempat di hati artis termasuk Safura, di mana beliau juga turut hadir pada majlis ini," ujarnya.

Pasangan artis suami isteri itu, Shahrulnizam Noor dan Safura Yaacob, telah mengambil keputusan untuk menghantar anak mereka Muhamad Daneal Hakim, 6, di Pasti Ilmi Taman Permata, Selangor setelah mendapati kurikulum sekolah berkenaan terbaik berbanding yang lain.

Menurut Safura, sebelum menghantar anaknya, beliau bersama suaminya yang juga seorang dramatis terlebih dahulu mengkaji mata pelajaran yang ada di peringkat Pasti.

"Alhamdulillah kami dapati pendidikan pra sekolah Pasti lebih baik berbanding yang lain, jadi kami mengambil keputusan untuk menghantarnya ke sekolah berkenaan," ujarnya ketika ditemui pada majlis Ihtifal Pasti itu.

Penyanyi itu juga mendapati pendidikan pra sekolah Pasti bukan sebagai medan politik sebagaimana yang dilabelkan oleh sesetengah pihak sebelum ini, sebaliknya sebagai tempat untuk mendidik tunas masyarakat ke arah yang bermoral khususnya dari segi akhlak.

Beliau juga turut mendapati kehadirannya untuk menghantar Mohd Danel selama dua tahun mendapat sambutan baik masyarakat, khususnya pihak pengurusan Pasti sendiri.

"Ini kerana masyarakat pelbagai peringkat telah menghantar anak masing-masing, bukan di kalangan orang-orang PAS saja jadi tidak ada sebarang masalah,"ujarnya.

Lebih membanggakan Safura anaknya yang mewakili negeri Selangor mendapat johan bagi kategori sajak.

Safura juga bercadang untuk melanjutkan pengajian anaknya dalam bidang agama di sekolah agama pada sebelah petang apabila Daniel menduduki sekolah kebangsaan.

Sementara itu, suaminya Shahrulnizam ketika ditemui berkata memandangkan anak-anak perlu dididik dengan ajaran Islam sejak awal, beliau telah memilih pendidikan pra sekolah aliran Pasti sebagai tempat untuk mendidik anaknya.

"Nak mendidik sendiri kami tidak mempunyai masa, jadi pra sekolah pendidikan Islam ini amat penting untuk anak-anak.

"Semua ibu bapa ingin memiliki anak yang baik bahkan mereka juga berharap biarlah anak-anak lebih baik daripada mereka dan kami adalah sebahagian daripadanya," ujarnya lagi.

Sahrulnizam terkenal dengan watak Herman anak Dato' Safuan lakonan Dato' Jins Shamsuddin dalam drama bersiri Mahligai Gading.

Kehadiran artis suami isteri ini menarik perhatian mereka yang hadir pada majlis ihtifal tersebut.

Kesempatan yang ada, mereka turut bergambar khususnya di pentas utama Putik di samping untuk mendapatkan tanda tangan.

Sementara itu, Pasti Negeri Kelantan telah diumumkan sebagai johan keseluruhan, diikuti Kedah dan Selangor.

Sebanyak lapan acara telah dipertandingkan antaranya pertandingan azan, hafazan al-Quran, sajak, bercerita dan nasyid.

Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pasti Pusat, Nazrin Abdul Majid.
Majlis berkenaan diadakan selama dua hari, bermula Jumaat lalu di mana tahun ini Kelantan sebagai tuan rumah. - mks.

(Sumber: http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2985:pendidikan-pasti-tarik-minat-artis&catid=13:dalam-negeri&Itemid=51)


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More