TENTANG PASTI

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Rangkaian PASTI Petra Jaya dikelolakan oleh Jawatankuasa Penyelaras PASTI Kawasan Petra Jaya. Sejarah Penubuhan PASTI Kuching: Penubuhan awal PASTI Kuching di bawah inisiatif Lajnah Tarbiyyah Perhubungan PAS Sarawak dengan mengumpul sumbangan daripada ahli-ahli. Nama asal PASTI Insani ialah Tadika Insani yang dimulakan pada tahun 2004. Bagi tujuan mengumpul dana, Tadika Insani menganjurkan kelas-kelas tuisyen yang mendapat sambutan hangat. Tahun pertama pembukaan seramai 5 orang pelajar dan seorang guru. Buat permulaan, PASTI menumpang di rumah ahli. Tadika Insani kemudiannya ditukarkan kepada PASTI Insani pada tahun 2005. Kini, terdapat 4 buah PASTI di kawasan Petra Jaya di mana 2 buah PASTI iaitu PASTI Insani (Taman Matang Jaya), mula beroperasi sejak tahun 2005 dan PASTI Nur Iman (Kampung No.3, Satok) telah beroperasi sejak tahun 2009, manakala 2 buah cawangan PASTI baru telahpun dibuka untuk pendaftaran sesi 2010, iaitu PASTI Darul 'Ilmi (Desa Guru) dan Pasti Darul 'Ulum (Taman Orchid Wood). Berminat untuk menyumbang dana kos pembukaan, pembangunan dan operasi PASTI? Segala sumbangan bolehlah disalurkan terus kepada Pengurus PASTI Kawasan Petra Jaya (Saudara Fizwan 013-8012296/013-8294180 @ Saudara Hafeiz 019-4538484) atau terus ke dalam akaun BANK ISLAM CAWANGAN SATOK, PASTI INSANI 1-101301-006469-3. Kurikulum PASTI adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan PASTI. Mata pelajaran yang diajar di PASTI adalah seperti berikut: Al-Qur'an, At-Tauhid, Al-Fiqh, As-Sirah, Al-Akhlaq wal Adab, Asas Bahasa dan Tulisan (Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Tulisan Jawi), Kesihatan, Pendidikan Sosial dan Pembangunan Insan, Alam dan Manusia, Matematik dan Pendidikan Jasmani.

Tuesday, March 2, 2010

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PASTI MALAYSIA

Sumber : PASTI PUSAT

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini.

Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.

Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah.

Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara.

Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan Ilahi.

Terima kasih.

AZRIN BIN AB. MAJID

Ketua Pengarah

Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More